Pages

Tuesday, January 21, 2014

Muallaf hairan mendengar Allah tidak tidur!

Assalamu alaikum semua!

Tadi saya tengah mengajar rukun iman kepada saudara muallaf. Dalam perbincangan itu saya telah terangkan tentang percaya  kepada Allah. Saya pun ceritakanlah sifat-sifat Allah. Bahawa Allah itu hanya satu sahaja, Allah tidak ada anak, tidak ada ibubapa, Allah tidak tidur, Allah tidak berasa mengantuk atau letih, Allah tidak kahwin dan  tidak perlu kepada wanita seperti manusia. Allah tidak serupa dengan manusia dari segi sifat dan rupa. Allah menciptakan langit dan bumi, Allah menciptakan bulan dan matahari, Allah mencipta gunung ganang, tumbuh tumbuhan, Allah mencipta manusia, Allah tidak perlu kepada bantuan sesiapapun untuk melakukan sesuatu perkara, Allah tidak tertakluk pada sesuatu kuasa, dan lain lain lagi.

Subhanallah! Saudara muallaf Salim kehairanan mengenali sifat-sifat Allah! Beliau terkejut mendengar bahawa Tuhan tidak tidur! Beliau juga sangat hairan bila diberitahu bahawa Allah tidak ada ibubapa yang melahirkanNya. Soalan beliau, kalau tidak ada ibubapa bagaimana Dia boleh ada?  Tetapi selepas penerangan lanjut akhirnya beliau kelihatan tenang dan menerima hakikat.
Soalan begini adalah biasa bagi muallaf seperti kami! Seseorang muallaf mesti menyiasat sedalam dalamnya sifat Allah sebelum berpegang pada Allah sebagai Tuhan yang maha Esa. Barulah pegangan akidah itu akan menjadi kukuh!

Seseorang manusia tidak perlu menjadi orang terpelajar untuk percaya kepada kewujudan Allah. Allah telah membekalkan manusia  dengan akal secara fitrah untuk memahaminya. Seorang pesawah yang berrendam di tanah lumpur walaupun kelihatan comot rupa luarannya, rohaniahnya mampu memancarkan cahaya keimanan tahap tertinggi walaupun tidak pernah belajar di menara gading. Sebaliknya seorang terpelajar / alim kelihatan segak dari segi bekalan ilmunya dari menara gading, tetapi rohaninya boleh jadi malap dan kelam kerana fitrahnya tidak terasuh dan terdidik untuk mengenali Khaliqnya.

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua!

Maaf, susunan bahasa tak cantik!Dah lewat malam nih! Kalau duduk perbetulkan nahu bahasa, alamatnya tak publishlah malam ni!



Wassalamu!

No comments:

Post a Comment